Showing posts with label harga gula naik. Show all posts
Showing posts with label harga gula naik. Show all posts

Thursday, March 2, 2017

ANTARA PUNCA HARGA GULA NAIK ADALAH ...


HARGA gula mulai naik sejak semalam iaitu daripada RM2.84 kepada RM2.95 sekilogram, naik sebanyak 11 sen!

Menurut laporan Oriental Daily, punca kenaikan ini adalah disebabkan peningkatan harga gula di pasaran antarabangsa, ditambah pula penyusutan nilai ringgit, sekali gus mendorong kos yang ditanggung kilang pengeluar gula tempatan turut meningkat.

Difahamkan, kenaikan ini telah diluluskan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Memetik laporan akhbar ini, Adun Bahau, Chew Seh Yong mendakwa, beliau telah menerima rungutan daripada orang ramai sejak awal pagi semalam bahawa harga gula telah naik sebanyak 11 sen sekilogram, iaitu daripada RM2.84 kepada RM2.95 sekilogram.

"Setelah mendapat penjelasan daripada pihak berkaitan, akhirnya memang disahkan pihak kerajaan telah setuju dengan kenaikan 11 sen sekilogram ini. Beberapa peniaga telah menjual dengan harga terbaru ini, manakala ada pekedai runcit hanya akan naikkan harga selepas pengumuman dibuat kerajaan," kata Seh Yong kepada akhbar ini.

Menurut beliau, tidak kira membuat pengumuman atau tidak, kerajaan sepatutnya tidak meluluskan kenaikan harga gula ini kerana ia akan membebankan lagi kos hidup yang ditanggung oleh rakyat jelata ketika ini.

"Apa yang lebih mengecewakan kita ialah kenapa kerajaan tidak telus dalam mengendalikan harga runcit gula ini. Kerajaan terpaksa meluluskannya secara senyap-senyap tanpa memberitahu kepada orang ramai.

"Apabila berlaku keadaan seperti ini, sudah tentu akan menyebabkan pengguna rasa kurang senang hati malahan akan menyebabkan pasaran berada dalam kedudukan keliru," katanya.

Menurut Seh Yong, gula adalah salah satu barang keperluan penting kepada setiap orang dan setiap kali apabila berlaku kenaikan, ia pasti akan meningkatkan inflasi serta menjejaskan kos sara hidup rakyat.

"Adalah tidak bijak bagi kerajaan membenarkan kenaikan harga gula pada masa ini. Ia seolah-olah menyeksa rakyat yang sudah terbeban dengan pelbagai kenaikan harga barang sebelum ini," katanya lagi.

- Sinar Harian

Wednesday, March 1, 2017

HARGA GULA NAIK 11 SEN SEKILOGRAM DI KALA RAKYAT MENUMPUKAN PERHATIAN KEPADA HARGA PETROL

DALAM diam-diam, harga gula pasir dilaporkan telah naik sebanyak 11 sen bagi setiap kilogram, lapor portal berbahasa Cina Kwongwah.com. 

Berkuatkuasa serta merta, harga jualan bagi 1 kg gula pasir dari RM2.84 kini meningkat kepada RM2.95 secara senyap naik sebanyak 11 sen lapor portal itu.


Portal Malaysiakini pula melaporkan, harga gula telah meningkat sehingga RM0.11 sekilogram walaupun belum ada sebarang pengumuman rasmi mengenainya dibuat.

Perkara itu turut disahkan oleh Presiden Persekutuan Persatuan Peniaga Barangan Runcit Malaysia, Hong Chee Meng. 

Menurutnya, perkara itu hanya dimaklumkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) melalui mesej pesanan ringkas.

"Saya terima sekitar jam 3 petang. Saya dimaklumkan melalui WhatsApp, tiada sebarang surat rasmi," kata Hong.

Terdapat berita yang melaporkan bahawa kerajaan sengaja tidak mahu mengumum kan peningkatan harga gula secara terbuka bagi mengelakkan orang ramai membuat pembelian panik, sekaligus akan menyebabkan bahan itu berkurangan dalam pasaran. 

Salah seorang sahabat kita sempat mengambil gambar di pasaraya yang dilawati hari ini. Memang sah harga gula kini RM2.95 sekilogram, harga gula memang sudah naik walaupun tiada pengumuman rasmi dari kerajaan.

Rujuk gambar berikut.


Baru sahaja rakyat menarik nafas lega petrol tak naik harga semalam, hanya harga diesel yang naik, rupa-rupanya dia 'sakau' naikkan harga gula.

Gula pasir adalah bahan asas dalam hampir kesemua makanan dan minuman. Kerana itulah ia diletakkan sebagai antara barangan kawalan, di mana harganya dikawal dan ditetapkan oleh kerajaan.

Peningkatan harga gula ini akan menyebabkan peningkatan harga kepada semua makanan dan minuman yang menggunakan gula. 

Dijangka ramai pihak akan menaikkan harga makanan dan minuman mereka kerana kenaikan kos harga gula.

Namun tidak dilupa kepada pengusaha yang mengambil kesempatan menaikkan harga makanan dan minuman secara melampau seperti yang pernah berlaku sebelum ini.

Contohnya harga gula naik RM0.11 sekilogram, tapi kedai mamak naikkan harga RM0.10 bagi segelas air sirap seolah-olah penyediaan segelas air sirap memerlukan 1 kg gula.