Wednesday, March 1, 2017

BR1M DIKATAKAN RASUAH KERANA ...


KUALA LUMPUR: Agihan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) perlu berpandukan mekanisme secara bersyarat bagi mengelak ia dipalit persepsi sebagai satu bentuk rasuah.

Pensyarah Kanan Jabatan Ekonomi di Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Mohd Yusof Saari berkata, BR1M adalah satu mekanisme bantuan yang sangat baik dan dipraktikkan di negara-negara maju, tetapi ia perlu diberikan dalam bentuk bersyarat.

"Kenapa boleh dikatakan rasuah? Ini kerana ia tidak bersyarat. Jadi orang yang menerimanya hanya terima tanpa membuat apa-apa," katanya apabila mengupas isu pendekatan mampan agihan BR1M di Hari Ini 8.

Katanya, bentuk bersyarat dilihat lebih baik kerana ia didorong produktiviti dan membantu isu rumah untuk memperbaiki taraf hidupnya.

"Sebagai contoh, kalau isu rumah mempunyai anak-anak bersekolah, BR1M boleh diteruskan jika anak-anak mencatat kehadiran dan pencapaian yang baik."

"Ia lebih produktif kerana mereka bukan duduk sahaja dan menerima BR1M," jelasnya.

Tambahnya, ada di kalangan penerima BR1M yang tidak ada niat untuk meningkatkan taraf hidup mereka kerana mahu kekal mendapatkan bantuan BR1M.

"Sekarang, ada isi rumah yang tidak ada niat untuk tingkatkan taraf hidup kerana kalau pendapatannya melebihi aras BR1M, maka tidak dapat lagi (bantuan)," katanya.

Dr Mohd Yusof berkata, setiap isu rumah mempunyai keperluan berbeza dan justeru, perlu ada mekanisme yang lebih tersasar.

"Setiap isu rumah, keperluannya berbeza-beza. Contohnya kalau di bandar, BR1M mungkin boleh membantu dalam bentuk subsidi sewa rumah dan bayaran ansuran. Di kawasan lain, keperluannya berbeza pula, mungkin dari segi makanan," ujarnya.

HARGA GULA NAIK 11 SEN SEKILOGRAM DI KALA RAKYAT MENUMPUKAN PERHATIAN KEPADA HARGA PETROL

DALAM diam-diam, harga gula pasir dilaporkan telah naik sebanyak 11 sen bagi setiap kilogram, lapor portal berbahasa Cina Kwongwah.com. 

Berkuatkuasa serta merta, harga jualan bagi 1 kg gula pasir dari RM2.84 kini meningkat kepada RM2.95 secara senyap naik sebanyak 11 sen lapor portal itu.


Portal Malaysiakini pula melaporkan, harga gula telah meningkat sehingga RM0.11 sekilogram walaupun belum ada sebarang pengumuman rasmi mengenainya dibuat.

Perkara itu turut disahkan oleh Presiden Persekutuan Persatuan Peniaga Barangan Runcit Malaysia, Hong Chee Meng. 

Menurutnya, perkara itu hanya dimaklumkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) melalui mesej pesanan ringkas.

"Saya terima sekitar jam 3 petang. Saya dimaklumkan melalui WhatsApp, tiada sebarang surat rasmi," kata Hong.

Terdapat berita yang melaporkan bahawa kerajaan sengaja tidak mahu mengumum kan peningkatan harga gula secara terbuka bagi mengelakkan orang ramai membuat pembelian panik, sekaligus akan menyebabkan bahan itu berkurangan dalam pasaran. 

Salah seorang sahabat kita sempat mengambil gambar di pasaraya yang dilawati hari ini. Memang sah harga gula kini RM2.95 sekilogram, harga gula memang sudah naik walaupun tiada pengumuman rasmi dari kerajaan.

Rujuk gambar berikut.


Baru sahaja rakyat menarik nafas lega petrol tak naik harga semalam, hanya harga diesel yang naik, rupa-rupanya dia 'sakau' naikkan harga gula.

Gula pasir adalah bahan asas dalam hampir kesemua makanan dan minuman. Kerana itulah ia diletakkan sebagai antara barangan kawalan, di mana harganya dikawal dan ditetapkan oleh kerajaan.

Peningkatan harga gula ini akan menyebabkan peningkatan harga kepada semua makanan dan minuman yang menggunakan gula. 

Dijangka ramai pihak akan menaikkan harga makanan dan minuman mereka kerana kenaikan kos harga gula.

Namun tidak dilupa kepada pengusaha yang mengambil kesempatan menaikkan harga makanan dan minuman secara melampau seperti yang pernah berlaku sebelum ini.

Contohnya harga gula naik RM0.11 sekilogram, tapi kedai mamak naikkan harga RM0.10 bagi segelas air sirap seolah-olah penyediaan segelas air sirap memerlukan 1 kg gula.


Tuesday, February 28, 2017

ADUAN MASALAH DUIT BR1M BELUM MASUK

Pemohon baru dan penerima sedia ada Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M 2017) dinasihatkan menggunakan saluran yang betul dalam usaha untuk mengemukakan masalah yang dihadapi.

Antara masalah utama dihadapi oleh pemohon baru dan penerima BR1m sedia ada adalah status permohonan memaparkan LULUS / BERJAYA tetapi duit BR1M belum dikreditkan atau dimasukkan ke dalam akaun bank simpanan penerima.

Jika anda menghadapi masalah ini, sila fahami dahulu maklumat dan kenyataan yang disertakan di bawah sebelum mengemukakan sebarang aduan.

Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bagi setiap permohonan yang BERJAYA / LULUS akan diagihkan secara berperingkat mengikut kelompok atau kumpulan.

Kecepatan pengkreditan duit bantuan BR1M ke dalam akaun simpanan turut bergantung kepada sistem bank penerima.

Bagi mereka yang tiada nombor akaun bank dan tidak memberikan maklumat akaun bank semasa membuat permohonan baharu / kemaskini, surat kelulusan (Baucar BR1M 2017) akan dihantar secara pos terus ke alamat penerima dan seterusnya baucar tersebut boleh ditunaikan di mana-mana cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN).

Untuk makluman, pembayaran BR1M dalam bentuk baucar turut dibuat secara berperingkat dan penerima baucar berkemungkinan akan lewat mendapat baucar tersebut berbanding penerima yang memilih pembayaran BR1M disalurkan melalui akaun simpanan bank.

Sekiranya BR1M tidak dapat dikreditkan ke dalam akaun penerima disebabkan masalah sistem atau sebagainya, surat makluman akan dihantar ke alamat penerima dan penerima perlu membawa surat tersebut bersama kad pengenalan asal untuk menunaikan di Bank Simpanan Nasional (BSN).

Maklumat hanya untuk permohonan BR1M 2017 yang sudah disahkan LULUS / BERJAYA setelah membuat semakan status permohonan.


Cara yang paling berkesan bagi membuat aduan berkaitan masalah duit BR1M 2017 belum diterima lagi pada tarikh yang sepatutnya adalah dengan mengunjungi cawangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berdekatan dan nyatakan masalah yang dihadapi oleh anda.

Ataupun anda boleh menghubungi talian bebas tol 1800-88-2716 (LHDN) atau 03-8882 4565 / 4566 (Kementerian Kewangan).

Sekiranya anda meluahkan masalah berkaitan BR1M yang dihadapi itu menerusi ruangan komen blog, ia tidak dapat membantu anda menyelesaikan masalah tersebut kerana admin blog terbabit bukannya dari pihak LHDN.


Melainkan anda sendiri membuat aduan dengan menggunakan cara yang betul menerusi saluran rasmi seperti mana yang dinyatakan sebelum ini.